Bangun pagi pagi lagi, saya dah ke dapur memasak Kari Ayam mengikut tips dan petua yang diberi kawan kawan. Memang terasa kelainannya, tidak ada rasa bau rempah mentah dan secukup sahaja rasanya. Kalau ada yang mahu mencuba, bolehlah tengok cara cara memasak di bawah. Resepi sama tidak semestinya menghasilkan masakan yang sama sedapnya. Teringat sahabat saya semalam bercerita tentang Kutbah Jumaat oleh Ustaz Dr Zulkifli Al Bakri yang mengatakan, semua orang solat Jumaat yang sama tapi belum tentu pahala yang diperolehi setiap orang adalah juga sama. Ianya bergantung kepada banyak perkara. Antaranya niat, cepat atau lambat, syaf dan kekusyukan masing masing. Haa sempat selit sedikit ilmu di sini ya.
Jom kita layan resepi di bawah...
Kari Ayam Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
12 ketul ayam
2 biji kentang - potong 4
1 1/2 labu bawang besar saiz besar - hiris
6 ulas bawang putih - hiris
3 inci halia - hiris
1 asam keping
1 kotak santan kotak
Air secukupnya
10 sudu besar rempah kari Babas - extra chilis
Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
1 pelepah daun kari
Gula
Garam secukupnya
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis bersama bawang putih, bawang merah dan halia sehingga kekuningan.
Kemudian masukkan rempah kari dan kacau seketika sebelum dimasukkan air supaya rempah cair. Terus masak dengan menggunakan api perlahan sambil terus dikacau sehingga rempah sedikit garing dan terbit minyak. Kemudian masukkan daun kari dan kentang.
Lepas itu, masukkan pula ayam dan masak sehingga ayam kecut sebelum tambah sedikit lagi air dan biarkan mendidih.
Masukkan pula santan. Terus masak dengan api perlahan. Setelah kentang empuk, masukkan asam keping, gula dan garam. Renihkan sehingga pecah minyak. Sesuaikan kepekatan kuah yang disukai. Jika terlebih pekat, tambah air panas dan masak lagi.
Nota
Kuah kari ayam pekat seperti ini sangat sedap dimakan dengan roti jala.
Kuah kari ayam pekat seperti ini sangat sedap dimakan dengan roti jala.
0 Komentar